KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak mengambil alih operasi SeDidik bagi menyebarluas pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti ke kawasan luar bandar.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin tanggungjawab yang dipikul oleh kementerian berkenaan mampu mengangkat tahap pendidikan awal kanak-kanak luar bandar lebih berkualiti seperti yang dilksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
“Kita (pada masa yang sama) dapat memasukkan sentimen budaya dalam silibus yang akan kita anjurkan di peringkat awal kanak-kanak dan di peringkat sekolah rendah dan menengah,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada majlis penyerahan SeDidik Sdn Bhd oleh SEDC kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak di Wisma Bapa di sini semalam.
Beliau mengakui sentimen budaya Sarawak harus dipertahankan oleh rakyat negeri ini termasuklah menerapkannya kepada generasi muda di peringkat umur mereka menerima pendidikan awal.
“Anak-anak kita sudah tentu kita adunkan silibus mengikut acuan yang dikehendaki oleh kerajaan negeri Sarawak dan akhirnya mereka dapat diberi latihan serta mengikuti sistem pendidikan yang lebih berkualiti untuk masa depan mereka,” tegasnya yang turut bercadang memasukkan sentimen budaya Sarawak ke peringkat pendidikan rendah dan menengah.
Hasrat itu kata Abang Johari selari dengan kenyataan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique iaitu ‘jika anda benar-benar ingin melihat rakyat sebenar yang bersatu dan mereka dapat menghargai antara satu sama lain budaya; Sarawak adalah modelnya’.
Maka, Abang Johari memberitahu beliau mencadangkan sendiri kepada Dato’ Sri Fatimah Abdullah (Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak) untuk bekerjasama dengan Menteri Perpaduan Negara bagi menerapkan filosopi Rukun Negara dan sentimen budaya Sarawak ke dalam silibus pendidikan awal kanak-kanak.
“Dalm masa kita hendak meningkatkan keadaan Sarawak sebagai negeri yang maju menjelang 2030 susah tentu dalam masa 10 tahun ini kita bukan sahaja meningkatkan infrastruktur yang kita bina melalui jalan raya, bekalan air dan elektik serta internet.
“Saya rasakan anak-anak kita (di luar bandar) mesti didedahkan dengan infra terkini agar setanding dengan pembangunan (di bandar) yang kita bina selama ini,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Abang Johari mengingatkan kementerian itu untuk mengekalkan momentum kualiti cemerlang SEDC sebelum ini dalam membangunkan pendidikan awal kanak-kanak melalui SeDidik.
“Kekalkan kualiti yang diamalkan oleh SEDC dan kita harus memperkembangkannya agar anak-anak kita terutama di luar bandar dapat menikmati pendidikan yang berkualiti,” tegasnya.
Pada majlis itu, Abang Johari menyaksikan simbolik penyerahan SeDidik daripada SEDC yang diwakili oleh Pengerusi SEDC Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain yang menyampaikan dokumen ringkas kepada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.
Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus.
Oleh Diyana Samsuddin