BELAWAI:Cukup menyayat hati apabila melihat mangsa dibaham buaya sebelum terus hilang dari pandangan mata dalam kejadian berlaku di Batang Ulu Belawai, pagi semalam
Lebih memilukan, cubaan rakannya untuk menyelamatkan mangsa gagal apabila mangsa terus dibaham buaya dan hilang dari pandangan mata.
Ketika kejadian sekitar 9.00 pagi, mangsa, Ricky Ganya,14, bersama tiga orang rakannya dari Rumah Dadat, Tanjung Manis keluar mencari ‘tekuyong’ (spesies siput) di kawasan tersebut, sebelum mereka terserempak dengan reptilia ganas itu.
Salah seorang saksi (rakan mangsa), beliau cuba menyelamatkan mangsa yang sedang berpaut pada akar pokok bakau, tetapi gagal dan mangsa dibaham buaya terus hilang dari pandangan.
Katanya, ketika kejadian mangsa memakai baju warna hitam dan berseluar pendek berwarna hitam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Janggan Muling berkata, pihaknya menerima panggilan 11.28 pagi, sepasukan anggota bersama sebuah jentera dan bot penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis dikerah ke lokasi.
“Selepas mendapatkan maklumat daripada salah seorang mangsa. Komander Operasi terus mengarahkan anggota melakukan mencari di permukaan sungai dua kilometer dari lokasi mangsa dibaham buaya,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita, semalam.
Katanya, pada 12.25 tengah hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang disertai pasukan bomba dan penduduk kampung telah dijalankan.
Operasi dijalankan turut menggunakan dua buah bot orang kampung.
Sehingga berita ini ditulis, mangsa masih belum dijumpai.
Oleh Akun Giman / Earl Anek