
PETRA JAYA: Syarikat produksi tempatan, Kamek Empun Production telah mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Kunjungan yang diketuai oleh Pengarah Urusan Kamek Empun Production Jalot Jeman adalah bagi mempromosikan filem terbaharu terbitan mereka iaitu Tumbukan Emas: Sapok Biki.
Menurut Jalot yang juga merupakan Pengarah Filem Tumbukan Emas: Sapok Biki, filem berkenaan dijangka ditayangkan secara perdana pada 23 Julai 2025, tertakluk kepada pengesahan tarikh oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), sebelum ditayangkan di pawagam seluruh negara sekitar September 2025.
Dalam pertemuan itu, Datuk Abdullah juga menyatakan tiada halangan untuk UKAS membantu mempromosikan filem tersebut, khususnya dalam bentuk teaser promosi.
Jelas beliau, sokongan ini turut diperkukuh oleh penglibatan serta dana yang telah disalurkan oleh MTCP kepada pihak produksi.
“Filem yang memaparkan kisah tokoh tinju terkenal Sarawak, Sapok Biki, itu wajar diberi perhatian dan disokong kerana bukan sahaja memartabatkan anak Sarawak, tetapi juga berpotensi menjadi produk pelancongan dan budaya negeri,” katanya.
Turut hadir Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan. -UKAS