
SIBU: Lebih 50 kes melibatkan kepentingan pengguna telah dikendalikan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Sibu sejak mula beroperasi pada Ogos 2023.
Pengerusinya Lucas Lau berkata, pencapaian itu membuktikan peranan penting yang dimainkan MTPN Sibu dalam melindungi hak pengguna daripada penipuan serta salah laku peniaga tidak bertanggungjawab.
“MTPN Sibu bermula dengan hanya beberapa pegawai dan ahli majlis yang bersemangat tinggi. Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan penilaian luar, kami terus melangkah ke hadapan dengan sokongan masyarakat dan semangat juang yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan dan Penyerahan Watikah Pelantikan MTPN Cawangan Sibu 2025 yang dirasmikan Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman di Dewan Kompleks Islam di sini, malam tadi.
Lau turut memaklumkan MTPN Sibu giat menjalankan pelbagai program kerjasama bersama jabatan dan agensi kerajaan, termasuk Pejabat Residen Bahagian Sibu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Pejabat Penerangan Sibu.
“MTPN Sibu komited untuk terus bekerja keras, memperkukuh jaringan kerjasama dan melaksanakan lebih banyak program demi manfaat pengguna dan masyarakat. Kami akan terus memperjuangkan hak pengguna dengan dedikasi, integriti dan profesionalisme,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kebangsaan MTPN, Kevin Lo yang juga Yang Dipertua MTPN Sabah, mengingatkan para penerima watikah bahawa pelantikan itu bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, tetapi turut membawa amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas dengan penuh integriti dan kasih sayang terhadap masyarakat.
“Jadilah pemimpin yang bukan hanya memegang jawatan, tetapi memikul kepercayaan. Peranan kita bukan hanya menganjurkan aktiviti, tetapi menyemai nilai dan menjadi jambatan antara hati rakyat dan harapan mereka,” katanya.
Turut hadir Ketua Cawangan KPDN Sibu, Kelyn Bolhassan@Haliward, Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Zaini Morshidi serta beberapa tetamu jemputan lain.
Oleh Tarani Lanting