
Bintang Liverpool, Mohamed Salah bersama trofi Liga Perdana Inggeris. - Foto AFP
LIVERPOOL: Bintang Liverpool, Mohamed Salah memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris buat kali keempat dalam kariernya, menyamai rekod bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry.
Salah meraih gelaran penjaring terbanyak musim ini selepas meledak 29 gol untuk Liverpool yang turut merangkul kejuaraan liga.
Pemain Mesir itu turut dinobatkan Perancang Terbaik Liga Perdana Inggeris selepas mendahului kategori itu dengan 18 bantuan gol.
Ini adalah kali kedua Salah merangkul anugerah Kasut Emas-Perancang serentak dalam kariernya.
Dia muncul pemain pertama memenangi Kasut Emas, Perancang Terbaik dan Pemain Terbaik dalam satu musim.
Anugerah itu melengkapkan musim penuh rekod buat pemain 32 tahun itu, yang gabungan 47 gol serta bantuan golnya adalah paling tinggi sepanjang kempen liga 38 perlawanan.
Salah sebelum ini merangkul gelaran Kasut Emas pada musim 2017-18, 2018-19 dan 2021-22.
Dia menandatangani lanjutan kontrak dua tahun bersama Liverpool sehingga musim 2026-27.