Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pemimpin ASEAN berhimpun esok untuk  Sidang Kemuncak, mesyuarat berkaitan
  • SEMASA

Pemimpin ASEAN berhimpun esok untuk  Sidang Kemuncak, mesyuarat berkaitan

Utusan Sarawak 3 days ago

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang akan bermula esok, menghimpunkan pemimpin-pemimpin Asia Tenggara untuk perbincangan peringkat tinggi yang tertumpu kepada kerjasama serantau, integrasi ekonomi dan kestabilan geopolitik. 

Dianjurkan di bawah kepengerusian Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, sidang kemuncak tahun ini akan menyaksikan penyertaan ketua-ketua kerajaan dari semua negara anggota ASEAN, kecuali Myanmar, dan Timor Leste sebagai negara pemerhati.

Ia akan bermula dengan Sidang Kemuncak ASEAN (Plenari) ke-46, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan para pemimpin bersedia untuk membincangkan isu-isu serantau utama seperti perdagangan dan pelaburan, keselamatan maritim, perubahan iklim, dan ekonomi digital.

Kenaikan tarif Amerika Syarikat baru-baru ini terhadap ekonomi Asia Tenggara dijangka menjadi satu daripada fokus utama, bersama-sama dengan krisis Myanmar yang berterusan dan pertikaian Laut China Selatan.

Berikutan itu Sidang Kemuncak ASEAN (Pemukiman) ke-46 diadakan, menyediakan platform bagi para pemimpin untuk terlibat dalam perbincangan yang lebih mendalam mengenai cabaran serantau, keutamaan strategik, dan usaha untuk memperkukuh perpaduan dan peranan utama ASEAN di tengah-tengah perubahan dinamik global.

Turut terdapat dalam jadual esok ialah perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), yang ditetapkan untuk menyediakan platform strategik bagi menyelaras keutamaan serantau menerusi tadbir urus inklusif dan pelbagai pihak.

Perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Belia ASEAN juga akan berlangsung esok, yang menggalakkan penyertaan belia dalam agenda pembangunan rantau ini.

Satu lagi mesyuarat penting ialah Perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), yang dijangka membincangkan lebih lanjut mengenai kenaikan tarif AS, strategi untuk meningkatkan kemudahan perdagangan dan pelaburan, serta transformasi digital.

Acara kemuncak esok majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, menandakan pencapaian strategik yang akan membimbing fasa pembangunan komuniti dan kepimpinan serantau ASEAN seterusnya.

Hari dengan jadual padat itu akan diakhiri dengan Majlis Makan Malam Gala yang dihoskan oleh Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu, setelah mempengerusikannya sebelum ini pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN, dua mesyuarat peringkat tinggi utama — Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan — akan berlangsung pada hari Selasa, yang menjadi platform penting untuk memperluaskan kerjasama serantau dan antara wilayah.– BERNAMA

Continue Reading

Previous: Sarawak mahu formula tetap geran khas disegerakan – Sharifah Hasidah
Next: Arshela Abdullah, juara Miss Icon International 2025 di Kemboja

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.