
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Sibu dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik melibatkan bidang kepenggunaan, pembangunan modal insan dan tanggungjawab sosial.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Pengerusi MTPN Sibu Lucas Lau dan Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, serta disaksikan Naib Pengerusi MTPN Sibu Nur Intan Asmida Busmandi dan Timbalan Naib Canselor UTS Profesor Dr Mohd Shahril Osman.
Memorandum berkenaan merangkumi pelbagai bidang kerjasama termasuk penganjuran program kesedaran pengguna, latihan dan penyelidikan berkaitan keselamatan pengguna, penglibatan mahasiswa dalam program kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain perkongsian kepakaran serta sumber antara kedua-dua pihak.
Khairuddin dalam ucapannya menegaskan kepentingan pendekatan berasaskan pengalaman sebenar atau ‘real-life case studies’ bagi memperkukuh pemahaman pelajar dan komuniti terhadap isu kepenggunaan.
“Kita jangan hanya tertumpu kepada teori. Saya berharap memorandum ini menjadi satu kerjasama berterusan dalam membentuk etika serta kesedaran pengguna dalam kalangan pelajar kita,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan mendidik generasi muda agar lebih beretika ketika membuat keputusan berkaitan pengguna, khususnya dalam era digital yang terdedah kepada pelbagai pengaruh dan godaan pembelian dalam talian.
“Kadangkala pelajar leka membeli-belah dalam talian hingga terbeli barangan yang tidak perlu. Ini boleh dielakkan sekiranya mereka diberikan pendedahan awal mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna,” jelasnya.
Sementara itu, Lau menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai langkah penting dalam memperluas pendidikan pengguna hingga ke peringkat akar umbi, melibatkan penyertaan aktif golongan muda.
“Kami percaya kolaborasi ini mampu membuka lebih banyak peluang pelaksanaan projek bersama demi kepentingan pengguna dan pembangunan negara.
“Ia juga sejajar dengan misi kami untuk memperkasakan pengguna melalui pendidikan dan kesedaran,” katanya.
Turut hadir, Presiden Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara (MPPN) merangkap Naib Presiden Kebangsaan MTPN Profesor Jericho Tang Kit Wai.
Oleh Tarani Lanting