KAPIT: Kerja-kerja menaiktaraf Studio Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kapit di Kompleks Persekutuan, Jalan Penghulu Nyanggau di sini akan membantu menaiktaraf mutu siaran radio di bahagian tersebut.
Majlis pembukaan tidak rasmi Studio RTM Kapit ini telah disempurnakan oleh ADUN Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Jamit turut diberi penghormatan untuk ke udara secara langsung serta menyentuh mengenai pembangunan di Kapit.
“Kita amat menghargai usaha RTM menaiktaraf studio RTM Kapit ini serta diberi lebih banyak masa untuk bersiaran.
“Seperti kita sedia maklum, Kapit masih kekurangan jaringan komunikasi tanpa wayar terutama di luar bandar.
“Namun kita yakin setiap rumah di luar memiliki radio dan dapat mendengar mengenai aktiviti sosial, ekonomi, politik dan komuniti yang berlaku di Kapit.
“Ini jelas menunjukkan radio berperanan penting dalam menyebarkan maklumat secara berkesan kepada penduduk di luar bandar,” ujar Jamit.
Sementara itu, Timbalan Pengarah RTM Sarawak, Abdull Hadi Mohd Yusoff memberitahu, kerja-kerja naiktaraf itu telah memberi wajah baharu kepada Studio RTM Kapit.
“Mulai sekarang, semua berita yang disiarkan adalah menerusi frekunsi FM dan kerja-kerja naiktaraf ini membolehkan RTM Kapit bersiaran bersama-sama studio yang lain seperti SIBUfm dan SARAWAKfm.
“Dengan naiktaraf ini, Studio Kapit juga akan diberi lebih banyak masa untuk bersiaran setiap hari dalam seminggu,” ujarnya.
Menurutnya, studio RTM Kapit akan menfokuskan kepada soal pembangunan di Bahagian Kapit, selain menyebarkan berita mengenai aktiviti kemasyarakatan, sosial ekonomi, politik, pendidik, kesihatan dan sebagainya.
Terdapat enam Stesen RTM di seluruh Sarawak iaitu di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.
Bagi kawasan tengah, Stesen RTM Sibu memberi liputan bagi Bahagian Sibu, Sarikei, Mukah dan Kapit.