KUCHING: Sistem Khidmat Islam Sarawak (KISWA) akan memudahkan serta meningkatkan servis perkhidmatan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, sistem baharu yang digunakan sejak 15 Jun lalu sejajar dengan inisiatif Kerajaan Sarawak ke arah ekonomi digital.
“KISWA ini mempunyai beberapa ciri menarik seperti pusat sehenti, Sarawak ID, maklumat sehenti dan mesra pengguna.
“Selain itu, ia turut memperkenalkan modul perkhidmatan baharu seperti permohonan kad nikah, khidmat nasihat dan kaunseling, pendaftaran tanah perkuburan Islam serta pelaporan mesyuarat, pengurusan kes syariah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) berkata demikian ketika melancarkan Khidmat Islam Sarawak (KISWA) 2020 di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, semalam.
Beliau dalam masa sama turut menyarankan JAIS sistem digital yang melibatkan 1,000 masjid dan 400 surau di seluruh negeri.
“Kita boleh laksanakan e-surau dan e-masjid sekali gus membangunkan masjid pintar dan surau pintar di seluruh negeri.
“Pembangunan sistem digital di masjid dan surau penting untuk mempelbagaikan fungsi rumah ibadah tersebut.
“Kita mahu masjid dan surau menjadi medan pemerkasaan ilmu dan kemasyarakatan selain untuk aktiviti keagamaan,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Abdul Rahman turut menggesa agensi lain di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) supaya mencontohi JAIS membangunkan sistem digital untuk meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Setakat ini Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dan JAIS yang telah membangunkan sistem digital.
“Saya berharap selepas ini semua agensi Islam dapat membangunkan sistem digital sendiri dan menjadikan MIS sebagai majlis pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi digital secara menyeluruh,” jelasnya.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Pengarah JAIS Khalidi Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Sarawak Awang Suhaili Ledi dan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Mual Suaud.
Oleh Zarina Abdullah