MIRI: Polis menahan seorang pelajar dan penganggur dipercayai keldai dadah dan merampas syabu seberat 11 kilogram dianggarkan bernilai RM440,000 di Lapangan Terbang Miri (LTM) di sini, Rabu lalu.
Kedua-dua lelaki berusia 16 dan 22 tahun itu ditahan di hadapan pintu balai ketibaan LTM oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah pada 7.45 malam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu tiba dari Kuala Lumpur dilihat dalam keadaan mencurigakan dengan masing-masing membawa beg bagasi.
Katanya, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJN untuk pemeriksaan lanjut.
“Bertempat di pejabat BSJN, polis telah mengarahkan suspek untuk membuka beg bagasi mereka masing-masing berwarna putih dan perak dan hasilnya menemukan enam bungkusan Teh Cina bertulis “Guang Yin Wang” yang mengandungi syabu seberat enam kilogram di dalam bagasi putih.
“Manakala, lima lagi bungkusan teh cina bertulis “Guang Yin Wang” yang juga mengandungi dadah jenis syabu seberat 5 kilogram di bagasi warna perak.
“Ini merupakan rampasan dadah terbesar di Miri setakat ini,” katanya pada sidang media di IPD Miri, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Wong Leng Meng.
Lim berkata, kedua-dua suspek ditahan susulan penahanan dua lagi suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ketika hendak berlepas ke Miri, pada hari yang sama.
Menjelas lanjut, Lim berkata dadah yang dirampas itu dipercayai untuk dipasarkan di kawasan utara Sarawak dan dianggarkan boleh memuaskan 22,000 orang penagih dadah.
“Hasil siasatan awal kedua-dua suspek tidak mempunyai jenayah lampau dan telah menjalankan kegiatan jenayah itu sejak enam bulan,”katanya sambil menambah kedua-dua suspek masing-masing didapati positif dadah jenis ganja dan syabu.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.
Oleh Liong Chai Ling