KUCHING: Memandangkan kes positif di Bahagian Kuching dan Samarahan semakin meningkat, pergerakan orang awam antara bahagian tersebut adalah tidak digalakkan kecuali bagi kes-kes tertentu dan kecemasan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antara kes-kes yang dibenarkan adalah menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, kematian ahli terdekat, ahli keluarga sakit tenat dan pemeriksaan kesihatan.
“Ia bukan hanya antara dua Bahagian ini, tetapi juga dari Kuching ke mana-mana bahagian hijau di Sarawak, seperti ke Kapit, Bintulu, Sibu dan Miri.
“Kita bukan melarang sama sekali, tetapi ia amat tidak digalakkan pergerakan terutamanya dari Kuching dan Kota Samarahan ke semua kawasan hijau di negeri.
“Jadi kita meminta dan merayu kepada penduduk Kuching dan Samarahan untuk duduk di bahagian masing-masing buat masa ini demi keselamatan dan mengekang penularan Covid-19,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 bertempat di Dewan Undangan Negeri Lama, di sini, semalam.
Bercakap mengenai beberapa keputusan JPBNS semalam, Uggah berkata bagi semua warga Sarawak yang balik dari luar negara, yang menggunakan pesawat dan transit di Semenanjung Malaysia, Labuan, Sabah, Brunei atau Singapura diwajibkan menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari.
“Selain itu peluasan penangguhan pembukaan semula sesi persekolahan bagi Daerah Padawan adalah SJK Chung Hua, Siburan melibatkan Tahun 1,2,3,4,5 dan 6 sehingga 3 Ogos.
“Manakala bagi kelas Pra-sekolah, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa,” jelasnya.
Uggah turut mengumumkan berkuatkuasa 1 Ogos 2020, penggunaan topeng penutup muka diwajibkan di tempat awam, dalam pengangkutan awam, pusat beli belah, market, kedai makan dan kedai runcit di seluruh Sarawak.
“Manakala kita telah telah berbincang dengan pihak UNIMAS dan memutuskan bahawa kemasukkan pelajar Program Pra Universiti akan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kemudian,” tambahnya.