
SIBU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah gudang penyimpanan perabot daripada musnah dalam kebakaran di Jalan Diong Kik, malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.25 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan balai bantuan BBP Sibu Sentral bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran.
“Setelah menjalankan size-up di lokasi, kebakaran dilaporkan adalah di luar bangunan gudang di bawah bumbung yang bersambung dengan blok gudang tersebut.
“Peratusan kawasan yang terbakar lebih kurang 23 peratus dari keseluruhan bangunan tersebut sedang marak terbakar. Binaan gudang tersebut adalah jenis kekal (konkrit) dua tingkat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, semasa tindakan overhaul di laksanakan, pam jentera telah mengalami kerosakan di mana tindakan susulan dengan menggunakan pam angkut sehingga overhaul selesai.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah memasang sawar-sawar. Operasi mengawal dan kebakaran tamat pada 3.00 pagi,” jelas beliau.
Oleh Akun Giman