
LIMBANG: Seekor ular sawa batik sepanjang dua meter yang kekenyangan selepas membaham ayam dalam reban seorang penduduk di Taman Haji Mohidin Limbang berjaya ditumpaskan oleh sepasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) Daerah Limbang.
Dalam kejadian sekitar 7.00 pagi tadi, ular seberat tiga kilogram itu mengejutkan seorang penduduk yang kemudian menghubungi APM untuk bantuan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Kapten (PA) Bonnie Madisun pihaknya telah menerima panggilan pengadu yang menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Limbang pada 7.42 pagi.
“Sepasukan anggota diketuai oleh Prebet (PA) Tondan Lanying dikejarkan ke lokasi yang jauhnya 2.5 kilometer dari PKOD Limbang untuk operasi kes menangkap ular (KMU).
“Anggota APM menjumpai ular sawa sepanjang dua meter di dalam reban ayam tersebut dan mengambil masa kurang 10 minit untuk menangkapnya menggunakan penyepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh Adeng Edrus