KUCHING: Sebanyak 93 permohonan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) berjumlah RM3,000 daripada waris pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) telah diluluskan setakat ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, sejak diperkenalkan pada tahun lepas sebanyak 180 permohonan telah diterima di seluruh negeri.
“Bantuan ini merupakan salah satu manfaat kepada pemegang KGC dimana jika ada kematian, waris boleh memohon bantuan.
“la diberikan kepada pemegang kad bukan pesara kerajaan atau yang tidak menerima bantuan daripada agensi lain,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur, di sini semalam.
Tambahnya, daripada jumlah BIK yang telah diluluskan, 14 adalah dari Bahagian Kuching, Serian(14), Betong(20), Bintulu(10), Miri(10) manakala selebihnya di bahagian lain.
“Setakat ini sebanyak 158, 242 permohonan KGC telah diterima dari seluruh negeri.
“Pemegang KGC menikmati kemudahan diskaun atau yuran percuma untuk barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan, pihak swasta dan pusat komersial yang menjadi rakan strategik KGC,” ujarnya.
BIK diberikan kepada pemegang kad bukan pesara kerajaan seperti nelayan, petani dan golongan B40 pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah sebulan.
la merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas di Sarawak.
Oleh Nur Ain Otsman