KUCHING: Seramai 879 orang yang telah kehilangan pekerjaan di negeri ini membuat permohonan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dari Januari sehingga 9 April lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, daripada jumlah tersebut terdapat 553 permohonan telah diproses dan diluluskan.
“Mereka yang telah diproses dan diluluskan adalah sebanyak 553 orang di mana sebanyak RM3.091 juta telah dibayar kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dari Januari hingga 9 April tahun ini,” katanya
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil penghargaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, sebanyak 11,851 orang telah ditempatkan ke alam pekerjaan daripada Januari sehingga April.
“Penempatan semula pekerjaan di negeri Sarawak sehingga kini ialah sebanyak 11,851 orang yang telah ditempatkan ke alam pekerjaan daripada Januari sehingga April.
“Ini termasuk jumlah pada tahun lepas yang hilang pekerjaan dan sebagainya yang telah mendaftar dengan MyFutureJob.
“Kita dapat melihat bahawa ada kemajuan yang baik dari segi mereka yang balik pekerjaan yang mana kalau kita lihat dari segi peringkat kebangsaan kadar pengangguran bertambah baik,” katanya.
Terdahulu, terdapat tiga orang bekerja sendiri di negeri ini yang terawal mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) menerima sijil penghargaan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ia merupakan penghargaan PERKESO kepada para pencarum bersempena dengan Sambutan Jubli Emas PERKESO pada tahun ini.
Oleh JEAKQLEYN YACHO