
KAPIT: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Batu 8, Jalan Penrissen Kuching, ditemukan selamat di Hentian Bas Kapit, Jalan Beleteh, Kapit, semalam.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu berkata, sekitar 3.30 petang semalam, orang awam membawa seorang budak lelaki berpakaian sekolah ke Balai Polis Kapit.
“Hasil temu bual awal mendapati budak lelaki tersebut dipercayai telah menaiki bas ekspress bersendirian dari Kuching Central pada 9.30 malam pada 25 Mac lepas dan sampai di Kapit pada 8.00 pagi semalam,” katanya menerusi siaran media.
Katanya, ibu bapa kanak-kanak tersebut telah datang ke Balai Polis Kapit pada12.45 tengah malam untuk mengambil anaknya.
“Kanak-kanak tersebut mengaku menaiki sendiri bas ekspress tanpa disedari oleh pemandu bas dan penumpang bas yang lain.
“Kanak-kanak tersebut telah diserahkan kepada ibu bapanya dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.
Pihak polis mengesahkan tiada unsur-unsur jenayah atau kes penculikan yang berlaku ke atas kanak-kanak tersebut sepertimana yang dipaparkan di media sosial.
OLEH AKUN GIMAN