SARIKEI: Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menyerahkan sumbangan berjumlah keseluruhan RM43,050 kepada 861 penerima sempena Program Jelajah Ramadan.
Katanya, sebanyak RM28,950 disalurkan kepada 579 orang penerima di Masjid Ar Rahmah, Kampung Seberang Sarikei, petang semalam.
Kategori penerima termasuk warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, asnaf, dan anak yatim.
Seterusnya, Len Talif meneruskan program di Masjid Darul Sa’adah, Susur Jambu Indah untuk menunaikan solat Isyak, dan Terawih bersama jemaah.
Di sini, seramai 282 orang penerima menerima sumbangan berjumlah RM14,100.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman facebooknya, semalam.
Len Talif turut menzahirkan penghargaan terhadap semangat komuniti setempat dalam menghayati Ramadan, sambil menekankan kepentingan perpaduan dan kasih sayang sepanjang bulan mulia ini.
“Saya melihat semangat ibadah yang tinggi dalam kalangan komuniti di sini pada malam ke-10 Ramadan ini, yang sekali gus mencipta suasana penuh kasih sayang dan solidariti.
“Program bantuan ini membuktikan bahawa semangat perpaduan di bulan Ramadan menjadi simbol kebaikan yang pasti membawa kebahagiaan kepada penerima dan pemberi,” katanya.
Beliau berharap program bantuan ini dapat terus memberikan manfaat serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan nilai-nilai murni yang diterapkan sepanjang Ramadan.
Di program sama, tazkirah turut disampaikan oleh Ustaz Dato’ Mohammed Trang Isa yang menekankan nilai keikhlasan dan keberkatan dalam bersedekah.
Oleh Earl Anek