
KUCHING: Sebanyak 83,463 pertubuhan di Sarawak dijangka terlibat dalam pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026), sekali gus mengukuhkan peranan negeri ini sebagai antara penyumbang penting kepada struktur ekonomi negara.
Perkara itu dimaklumkan pada Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 peringkat Sarawak yang berlangsung di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, baru-baru ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh bersama Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, persatuan industri, pertubuhan perniagaan serta usahawan.

Banci yang berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026 itu merupakan banci ekonomi keenam dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sejak 2001 dengan tema ‘Data Nadi Ekonomi Rakyat’.
Daripada jumlah keseluruhan pertubuhan yang akan dibanci di Sarawak, sektor perkhidmatan mencatatkan liputan tertinggi iaitu sebanyak 68,748 pertubuhan atau 82.4 peratus, diikuti sektor pembinaan sebanyak 8,852 pertubuhan (10.6 peratus), pembuatan 3,710 pertubuhan (4.4 peratus), pertanian 1,952 pertubuhan (2.3 peratus) dan perlombongan serta pengkuarian sebanyak 201 pertubuhan (0.2 peratus).
Keadaan itu mencerminkan dominasi sektor perkhidmatan dalam ekonomi negeri yang terus berkembang selari dengan peningkatan aktiviti perdagangan, pelancongan, logistik dan perniagaan digital.
Di peringkat nasional, lebih 1.4 juta pertubuhan akan diliputi menerusi banci tersebut yang bertujuan mengumpul data komprehensif daripada perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar bagi menilai prestasi, struktur serta ciri-ciri ekonomi negara.
Maklumat yang dikumpulkan meliputi pelbagai aspek termasuk produktiviti, pelaburan, guna tenaga, penggunaan teknologi dan daya saing ekonomi, selain menjadi asas kepada penyusunan semula indikator utama ekonomi seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), indeks industri dan jadual input-output negara.
Berdasarkan dapatan Banci Ekonomi 2023, Sarawak merekodkan 70,626 pertubuhan dengan jumlah output kasar RM356.6 bilion serta nilai ditambah RM165.4 bilion.
Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar bilangan pertubuhan dengan 89.8 peratus, manakala jumlah guna tenaga negeri mencecah 624,361 orang pekerja, termasuk 334,275 orang atau 53.5 peratus yang bekerja dalam sektor perkhidmatan.
Dari segi prestasi ekonomi, Sarawak menyumbang 9.0 peratus kepada KDNK negara pada 2024 dengan nilai KDNK berjumlah RM148.2 bilion. Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar sebanyak 38.6 peratus, diikuti pembuatan (25.8 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (21.0 peratus).
Pelaksanaan BE2026 turut diselaraskan dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi menyokong perancangan pembangunan berasaskan data, menarik pelaburan berimpak tinggi serta meningkatkan produktiviti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh Sarawak.
Banci kali ini juga menggunakan klasifikasi industri baharu, Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025, yang menggantikan MSIC 2008 bagi mencerminkan perubahan landskap ekonomi global termasuk perkembangan ekonomi digital, inovasi, tenaga lestari dan teknologi maklumat.
Selain itu, pendekatan pengumpulan data dipertingkat menerusi pelbagai kaedah termasuk pengisian borang dalam talian (e-BE), penghantaran melalui pos, panggilan telefon, e-mel dan temu bual bersemuka bagi memastikan liputan serta ketepatan maklumat yang lebih menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia buat pertama kalinya menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang diterbitkan oleh Open Data Watch, mengatasi 197 negara lain selepas berada di kedudukan ke-67 dalam penilaian 2022/23.
Orang ramai juga boleh mengakses pelbagai katalog data dan visualisasi statistik menerusi platform OpenDOSM NextGen yang disediakan DOSM.