KUALA LUMPUR: Seramai 828 individu ditahan dalam rondaan dan sekatan jalan raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, jumlah penahanan itu menunjukkan polis mengambil tindakan lebih tegas berikutan masih terdapat rakyat yang tidak mematuhi PKP.
Ismail Sabri berkata PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 1,520 sekatan jalan raya dan melakukan 257,287 pemeriksaan kenderaan.
Beliau berkata jumlah keseluruhan anggota yang bertugas dalam pelaksanaan PKP adalah seramai 67,774 dan lebih ramai petugas yang akan digerakkan sekiranya ada keperluan.
“Sasaran kita bukan untuk menambah tangkapan tapi untuk kurangkan tangkapan. Makin banyak tangkapan maknanya masih ramai rakyat kita tak patuh dengan PKP.
“Kita mempunyai simpanan lebih ramai (anggota bertugas) jika diperlukan dan akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sekatan jalan raya di plaza tol di seluruh negara ditambah dari 23 kepada 65, dan akan ditingkatkan kepada 114 plaza tol.-Bernama