SPAOH: Sebanyak 80 perjalanan penghantaran air menggunakan dua lori tangki telah dilaksanakan bagi membantu penduduk di lima kampung di sekitar daerah kecil Spaoh yang terjejas akibat cuaca kering dan kekurangan sumber air.
Menurut kenyataan media Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), bantuan bekalan air itu melibatkan Kampung Serembang, Kampung Supa, Kampung Medang, Kampung Tuie dan Kampung Serabang.
Setakat petang semalam, kira-kira 80 perjalanan penghantaran telah dilaksanakan bagi memastikan penduduk yang terjejas terus menerima bekalan air untuk keperluan harian.

JBALB Sarawak berkata, pengoperasian dua lori tangki berkenaan merupakan langkah bantuan segera susulan keadaan cuaca kering yang berpanjangan dan kekurangan sumber air di kawasan terbabit.
Menurutnya, setiap penghantaran adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan itu bagi memastikan bekalan air dapat disampaikan kepada komuniti yang memerlukan, khususnya ketika berdepan cabaran cuaca semasa.
“JBALB Sarawak akan terus melaksanakan pemantauan, penyelarasan dan penghantaran bekalan air melalui lori tangki mengikut keperluan serta keadaan semasa,” menurut kenyataan itu.

Usaha berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban penduduk yang terjejas sementara keadaan bekalan air dipantau dari semasa ke semasa.
Perkembangan terkini akan dimaklumkan menerusi saluran media sosial rasmi JBALB Sarawak.
Sebarang bantuan atau aduan berkaitan bekalan air boleh disalurkan kepada JBALB Call Centre di talian 082-262211.
Oleh Adi Safarman





