KUCHING: Sebanyak 794 unit lampu jalan LED akan dipasang di sepanjang laluan Petra Jaya–Rambungan sejauh 11.9 kilometer menerusi projek bernilai RM5.8 juta bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, projek berkenaan turut melibatkan pemulihan sistem pencahayaan sedia ada yang mengalami kerosakan akibat vandalisme dan kemerosotan infrastruktur.
Menurutnya, penyediaan sistem pencahayaan dan bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai akan membantu meningkatkan tahap penglihatan pengguna jalan raya pada waktu malam.
“Pencahayaan yang lebih baik dijangka meningkatkan tahap penglihatan pengguna jalan raya pada waktu malam, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan keselamatan pemandu, penunggang motosikal, pejalan kaki dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Projek Penyediaan Lampu Jalan di Lebuh Pehin Sri Adenan Satem, di sini, hari ini.
Tambahnya, laluan yang menghubungkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dan Tupong itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk serta pengguna jalan raya di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Projek bernilai RM5,828,380 ini dijadualkan siap pada 16 Jun 2027 dan melibatkan penyediaan serta pemulihan sistem voltan tinggi dan voltan rendah di sepanjang laluan berkenaan, khususnya di Seksyen Matang.
“Antara skop projek ialah pembinaan talian atas 11kV lengkap dengan enam set transformer 50kVA 11/433kV serta aksesori berkaitan,” jelasnya.
Selain itu, katanya, sebanyak 794 unit lampu jalan LED jenis tanpa lengan berkuasa 120W akan dipasang di sepanjang laluan berkenaan.
“Skop projek turut merangkumi pemasangan kabel bawah tanah, mini pillar, kotak kawalan dan aksesori berkaitan bagi memastikan sistem pencahayaan berfungsi dengan lebih baik,” tambahnya.
Untuk rekod, projek itu dilaksanakan oleh Arena Megasuria Sdn. Bhd., dengan Perunding Teknikal Consult Sdn. Bhd. sebagai perunding projek, manakala Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching bertindak sebagai Pegawai Penguasa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan Pengarah JKR Sarawak, Datu Ir. Cassidy Morris.




