
PETRA JAYA: Seramai 71 pelajar di bawah Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) hari ini menerima bantuan pakaian seragam sekolah dalam satu majlis yang diadakan di Auditorium Wisma Adenan, Yayasan Sarawak.
Pelajar yang menerima bantuan terdiri daripada 30 pelajar SMK Green Road, enam pelajar SMK Batu Lintang dan 35 pelajar SMK Bandar Samariang.
Penerima bantuan adalah daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk anak yatim dan pelajar yang disara oleh ibu tunggal.
Setiap pelajar menerima bantuan berjumlah RM200 untuk membeli kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, aksesori seperti tali pinggang, beg, stoking, kasut, pakaian sukan (track suit) serta uniform kelab dan persatuan sekolah.
Menurut Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah ini adalah salah satu inisiatif Yayasan Sarawak yang bertujuan mengurangkan beban kewangan ibubapa khususnya dari golongan B40.
“Dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar, bantuan ini diharapkan dapat memberi kelegaan kepada keluarga yang memerlukan,” katanya ketika berucap dalam majlis Agihan Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak kepada pelajar Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) di Wisma Adenan, hari ini.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak RM24 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini sepanjang tempoh 2021 hingga 2025. Sehingga kini, RM17.5 juta telah digunakan untuk membantu 87,311 pelajar di seluruh Sarawak. Pada 2024, Premier Sarawak mengumumkan peningkatan peruntukan tahunan daripada RM4 juta kepada RM6 juta, yang dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 pelajar pada tahun 2025.
Kehadiran majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, yang turut memberi penghargaan kepada inisiatif ini.
Sharifah Hasidah berkata, kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak sentiasa komited dalam usaha memastikan kesejahteraan serta tahap pendidikan anak-anak di negeri ini terus dipertingkatkan.
“Ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah di negeri ini,” tambahnya.
Oleh Amanda L.