646 kotak air minuman bantu ringankan beban 323 penduduk terjejas kemarau

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 646 kotak bekalan air minuman diagihkan kepada 323 penduduk daripada 74 KIR di tiga rumah panjang di daerah ini yang terjejas akibat gangguan bekalan air susulan keadaan kemarau, semalam. Foto APM Betong

BETONG: Sebanyak 646 kotak bekalan air minuman diagihkan kepada 323 penduduk daripada 74 Ketua Isi Rumah (KIR) di tiga rumah panjang di daerah ini yang terjejas akibat gangguan bekalan air susulan keadaan kemarau, dekat sini semalam.

Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong, operasi penghantaran bekalan air bersih itu dilaksanakan semalam dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Operasi bermula pada 11.00 pagi hingga 6.45 petang, dengan pasukan bergerak dari RTC Layar sebelum menghantar bantuan ke tiga lokasi yang terjejas.

Tiga lokasi berkenaan ialah Rumah Panjang Jambu Kerampa, Ulu Layar; Rumah Panjang Batu Pesok, Spaoh; dan Rumah Panjang Mutok Tabau, Layar.

Operasi itu membabitkan tujuh anggota APM, 22 anggota ATM, tiga pegawai JKM serta tiga anggota JKR, selain penggunaan aset logistik agensi terlibat bagi memastikan proses penghantaran bantuan berjalan lancar.

Pasukan operasi tiba semula di RTC Layar pada 6.45 petang, manakala penghantaran bekalan air dijadualkan diteruskan pada hari berikutnya bagi memastikan keperluan penduduk yang masih terjejas dapat dipenuhi.

APM Daerah Betong memaklumkan pihaknya akan terus memainkan peranan dalam menyokong usaha pengurusan bencana di peringkat daerah, khususnya menerusi fungsi penyelarasan sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Usaha itu penting bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan serta keperluan asas masyarakat sentiasa diberi perhatian, terutama ketika berdepan keadaan cuaca kering dan kekurangan sumber air.

Kerjasama rentas agensi turut menjadi tunjang dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan teratur kepada komuniti yang memerlukan.

Oleh Adi Safarman