SIMBOLIK… Raymond Sim menyerahkan jersi kepada Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selepas sidang media berkenaan dengan ITF World Tennis Tour Men’s Pro-Circuit di Tingkat 17, Bangunan Baitulmakmur 2, Petra
Jaya, semalam.
SEBANYAK 18 negara dengan 61 pemain berdaftar mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Tenis Siri Jelajah Dunia ITF Sirkit Profesional M15 yang akan berlangsung seminggu di Kuching, bermula 1 Ogos depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan tenis tersebut bakal menghimpunkan pemain tenis pada ranking terbaik dunia.
“Setakat ini, 22 negara yang lain dengan 208 peserta masih lagi dalam fasa kelayakan yang mana sekarang ini mereka masih melakukan saringan percubaan untuk turut serta.
“Kejohanan kali ini merupakan kejohanan kali kedua selepas ia diadakan kali pertama pada 2012 dan saya berterima kasih kepada Persatuan Lawn Tennis Sarawak (SLTA) kerana menganjurkan kejohanan berprestij ini sekali lagi,” ujarnya.
Dedahnya, antara negara yang telah layak menyertai kejohanan tersebut setakat ini ialah Jerman, Vietnam, Thailand, Australia, China, Korea Selatan, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Itali.
“Selain itu, tiga pemain tenis skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak juga akan turut serta dalam kejohanan ini iaitu Mohd Aiman Jimmy, Jimmy Liong dan Hii Shieng Wee.,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media berkenaan dengan ITF World Tennis Tour Men’s Pro-Circuit di Tingkat 17, Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, semalam.
Sementara itu, Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew berkata SLTA mengambil peluang tersebut untuk menaik taraf kemudahan untuk dalam usaha membuktikan Sarawak ke arah menjadi pusat sukan dunia kepada pengunjung-pengunjung dari negara luar
“Sambutan kejohanan antarabangsa ini dijangkakan bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada negara luar di mana kita bakal melihat ramai pemain-pemain tenis handalan hadir menyertai kejohanan.
“Mempromosikan Sarawak sebagai pelancongan sukan secara keseluruhan adalah sesuatu yang SLTA sentiasa mahu lakukan iaitu mempromosikan tenis melalui kejohanan antarabangsa”, jelasnya.
Turut hadir Pengarah Urusan Lea Sports Centre selaku penaja utama kejohanan, Raymond Sim.
Oleh RYNNA SHA’ERRA