
SIMANGGANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM7.895 juta untuk seramai 5,808 penerima bantuan bulanan JKM bagi Januari sehingga Mac tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata daripada jumlah itu seramai 2,649 adalah merupakan penerima Bantuan Warga Emas (BWE) dengan kadar bulanan sebanyak RM600 sebulan.
“Selain itu, seramai 707 penerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK) iaitu dengan kadar RM200 hingga RM1,000, seramai 1,452 penerima Bantuan Am (BA), 169 penerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), 236 penerima Bantuan Penjagaan OKU serta Penyakit Kronik Terlantar (BPT), 592 penerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dan dua penerima Bantuan Anak Pelihara (BAP).
“Jumlah keseluruhan penerima adalah seramai 5,808 orang dan daripada jumlah itu juga adalah merupakan 1,453 bantuan daripada kerajaan negeri dan 4,355 adalah daripada Kerajaan Persekutuan dan jumlah keseluruhan perbelanjaan setakat bulan ini adalah sebanyak RM7.895 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri Sri Aman 2025 bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Dayang Nooraazah berkata, program yang diadakan itu adalah ntuk meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan beragama Islam sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini khasnya kawasan Sri Aman.
Dalam pada itu, bagi tahun ini, seramai 695 penerima beragama islam yang menyambut Aidilfitri daripada 5,808 penerima jumlah keseluruhan penerima bantuan bulanan kebajikan di Bahagian Sri Aman termasuk Daerah Lubok Antu.
Pada Majlis Sejambak Kasih yang diadakan hari ini, para penerima yang dijemput hadir adalah seramai 100 orang. Mereka akan menerima sumbangan iaitu wang tunai bernilai RM100.
Manakala, 595 orang lagi yang tidak berpeluang hadir pada hari ini sumbangan RM100 akan dikreditkan ke akaun masing-masing.
Turut hadir Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Mordiah Syed Ali.
Oleh Adi Saparman