PETRA JAYA: Sebanyak 647 sekolah di Sarawak akan ditutup sementara dari 7 hingga 11 September ini susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan negeri.
Pengarah Pendidikan, Omar Mahli, berkata penutupan itu membabitkan 563 sekolah rendah dengan 108,477 murid serta 84 sekolah menengah melibatkan 90,082 murid di bawah seliaan 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan berterusan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sepanjang cuti persekolahan serta laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan.
“Sehubungan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah yang terjejas oleh fenomena jerebu,” katanya.
Sekolah yang terlibat berada di bawah 12 PPD iaitu Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau dan Meradong.
Omar berkata pihak sekolah turut diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan serta mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak juga perlu sentiasa memantau perkembangan tahap IPU di kawasan masing-masing menerusi sistem APIMS serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa.
Sebarang perubahan atau maklumat terkini berkaitan penutupan sekolah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Oleh Shahrul Qaizat




