KUCHING: Sebanyak 55 lagi menara Sarawak Multimedia Authority Radio Telecommunication (SMART) akan bersiaran (On Air) menjelang perayaan Gawai Dayak akan datang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, menara yang menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) disediakan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC), dapat digunakan oleh syarikat penyedia telekomunikasi sedia ada seperti CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.
Jelasnya, 70 lagi menara telekomunikasi yang menggunakan teknologi sama telah mula bersiaran pada sambutan Aidilfitri ini.
“Baki Menara SMART ini akan bersiaran menjelang suku pertama 2024.
“Kehadiran peralatan gelombang mikro atau ‘kuali’ tidak semestinya menunjukkan ketersediaan perkhidmatan mudah alih, seperti perkhidmatan 4G daripada CelcomDigi, Maxis atau U Mobile.
“Ini kerana beberapa menara telekomunikasi yang mempunyai peralatan gelombang mikro hanya berfungsi sebagai tapak pengulang dan medium untuk memindahkan isyarat telekomunikasi dari satu tapak ke tapak lain, sama seperti gentian optik tetapi tanpa wayar,” katanya pada sidang media pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu lagi, untuk mencapai aspirasi menjadi negeri maju menjelang 2030, Kerajaan Sarawak melengkapkan usaha Kerajaan Persekutuan dengan membelanjakan RM1.89 bilion untuk melaksanakan projek SMART.
Ini jelasnya adalah bagi mempercepatkan pembangunan telekomunikasi khususnya di kawasan luar bandar Sarawak.
“Dengan liputan rangkaian 4G di Sarawak pada masa ini hanya 54 peratus daripada kawasan berpenduduk, terdapat banyak kawasan di luar bandar yang masih belum disediakan perkhidmatan telekomunikasi.
Beliau berkata, Sarawak memerlukan kira-kira 7,000 menara telekomunikasi dan struktur untuk mencapai liputan penuh, pada masa ini kira-kira 3,500 menara dan struktur sedang beroperasi.
“Kontrak pembinaan menara telekomunikasi mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan untuk disiapkan dan terdiri daripada dua peringkat.
“Peringkat pertama membabitkan pembinaan menara, kebiasaannya mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan dan antara skop kerjanya ialah pengenalan tapak, perolehan, kerja ukur, kelulusan dan pembinaan menara.
“Peringkat kedua pula akan mengambil masa sembilan bulan lagi di mana penyediaan bekalan kuasa, pemasangan peralatan telekomunikasi, membawa penyedia telekomunikasi kepada ‘On Boarding’, kerja-kerja pentauliahan dan pengoptimuman tapak akan dijalankan bagi membolehkan siaran dilakukan sebelum ia mula memberi perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang serta Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Jafri Lias.
Oleh NICKELYSON LAKUN