MIRI: Seramai 500 orang terdiri daripada hakim, pegawai dan pengamal undang-undang menyertai perarakan sempena pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2023 di sini, hari ini.
Perarakan tahunan sejauh kira-kira satu kilometer itu bermula dari sebuah hotel terkemuka di Pusat Komersial Waterfront ke Kompleks Mahkamah Miri diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Selepas perarakan, majlis diteruskan dengan perhimpunan sempena pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2023 yang berlangsung di dewan Kompleks Mahkamah Miri.
Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak atau Opening of the Legal Year (singkatannya OLY) telah bermula pada tahun 2004 di Kota Kinabalu, Sabah.
Berdasarkan rekod, ia telah menjadi acara yang pertama sejak Sabah memperolehi kemerdekaan pada 1963.
Bermula 2009, acara ini melangkah ke hadapan dengan penganjuran secara bersamaan dengan Mahkamah Negeri Sarawak.
Sejak itu, Pembukaan Tahun Perundangan telah menjadi satu acara tradisi tahunan ikonik yang mesti dianjurkan.
Memasuki edisi ke-19, Pembukaan Tahun Perundangan berlegasi sebagai suatu peristiwa penting dalam Kalender Tahunan Badan Kehakiman Sabah dan Sarawak yang menandakan Pembukaan Tahun Baharu Kehakiman 2023.
Sepanjang edisi lepas, acara ini telah dianjurkan secara bergilir-gilir di beberapa mahkamah lain seperti di Mahkamah Sandakan dan Tawau di negeri Sabah serta Mahkamah Kuching, Mahkamah Miri, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Bintulu di negeri Sarawak.
Bagi Pembukaan Tahun Perundangan 2023, Mahkamah Miri sekali lagi dipilih sebagai pengelola majlis.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, objektif Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 ini adalah untuk mengumpulkan seluruh warga kehakiman iaitu Hakim-Hakim dan Pegawai Kehakiman, warga perundangan iaitu Pegawai Undang-Undang Persekutuan dan Negeri, serta peguam-peguam di negeri Sabah dan Sarawak untuk berada di Miri bagi mengimbas kembali perancangan dan pelaksanaan pentadbiran keadilan sepanjang 2022 dan bagi menyusun semula dasar, visi dan misi untuk dilaksanakan sepanjang 2023 ini.
Oleh Liong Chai Ling