KUCHING: Seramai 500 peserta menyemarakkan program Sejam Bersama al-Quran Malaysia 2026 (Malaysian Quran Hour 2026) menerusi pengisian bacaan, tadabbur dan refleksi ayat al-Quran di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu dianjurkan bagi menggalakkan masyarakat meluangkan masa bersama al-Quran, selain menyemai budaya membaca, memahami dan menghayati kandungannya dalam kehidupan seharian.

Program Sejam Bersama al-Quran Malaysia 2026 yang berlangsung serentak di seluruh negara turut memberi penekanan kepada usaha menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam membentuk akidah, ibadah, akhlak dan muamalat.
Pengisian program dimulakan dengan Khatam al-Quran dan Rumah Ngaji Sarawak sebelum diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran al-karim oleh Ustazah Nur Syakura Mohamad Musa.

Peserta kemudian mengikuti bacaan Surah al-Muzammil yang dipimpin Ustaz Muhammad Tamizi Hussien, sebelum sesi tadabbur bersama Abdullah Bukhari Abdul Rahim.
Program turut diserikan dengan penyampaian hadiah pertandingan hafazan serta pertandingan qari dan qariah anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), selain sesi cenderamata, fotografi dan jamuan.

Penganjuran program Sejam Bersama al-Quran Malaysia 2026 diharap dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat menjadikan al-Quran sebahagian daripada rutin kehidupan, bukan sekadar melalui pembacaan tetapi turut memahami dan menghayati mesej yang terkandung di dalamnya.
Usaha itu juga selari dengan matlamat memasyarakatkan al-Quran serta membentuk masyarakat yang menjadikan nilai dan ajarannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Oleh Shikin Mahmud





