SERIAN: Projek Peningkatan Produktiviti Padi (4P) iaitu menggunakan teknologi moden akan dibangunkan di Kampung Lebur Serian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 500,000 pada Fasa 1 projek untuk tujuan menyediakan infrastruktur.
Menurut beliau, aktiviti pertanian kini bukan seperti dahulu.
“Sekarang ini, kita melihat aktiviti pertanian merupakan satu aktiviti yang berkembang dengan pesatnya khususnya di kawasan sekitar Bukit Semuja ini.
“Jadi, saya berharap dengan adanya infrastruktur yang telah diberi, mudah-mudahan peningkatan dari segi input peningkatan daripada produk yang kita dapat dari sektor pertanian akan terus bertambah dan dapat memberi keuntungan ataupun meningkatkan ekonomi kita di Serian khususnya kawasan Bukit Semuja,” jelasnya.
Terdahulu, John Ilus merasmikan Majlis Pecah Tanah Bagi tiga projek iaitu Projek Menaik Taraf Jalan Kampung Lebor, Projek Menambah Baik Insfrastruktur Kawasan Sawah Padi di Paya Empiduh dan Projek Penyelenggaraan Jalan Pertanian Sau di Kampung Lebur, Serian.
John Ilus berkata, yang pertama kita rasmikan ialah berkenaan dengan Projek Menaik Taraf Jalan Kampung Lebur yang mempunyai peruntukan sebanyak RM500,000.
“Kedua ialah berkenaan dengan Projek Menambah Baik Insfrastruktur Kawasan Sawah Padi di Paya Empiduh dengan peruntukan sebanyak RM500,000 dan juga Projek Penyelenggaraan Jalan Pertanian Sau yang mempunyai peruntukan berjumlah RM300,000.
“Ini bermakna, keseluruhannya berjumlah dalam RM1.3 juta.” katanya pada Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Menambah Baik Insfrastruktur Kawasan Sawah Padi di Paya Empiduh, Projek Penyelenggaraan Jalan Pertanian Sau dan Projek Menaik Taraf Jalan Kampung Lebur Serian di Balai Raya Kampung Lebur, Serian, di sini, kelmarin.
Justeru, John Ilus berharap semua yang terlibat iaitu kontraktor, agensi pelaksana, para teknikal dan juga para penduduk kampung bekerjasama untuk memastikan kejayaan projek itu.
Oleh Cheryl Law