KUCHING: Agihan geran tahunan berjumlah keseluruhan RM1,634,600 diserahkan kepada 44 persatuan dan pertubuhan belia dan sukan di Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kerajaan Sarawak komited dalam menjaga kebajikan atlet di negeri ini demi memastikan keperluan mereka mendapat perhatian sepenuhnya.
Jelas beliau, inisiatif tersebut selain perkampungan sukan bernilai RM30 juta yang bakal siap tidak lama lagi, termasuk perancangan untuk menubuhkan Pusat Berprestasi Tinggi Sukan sebagai platform yang memberi fokus kepada keperluan para atlet juga merupakan salah satu program pembangunan sukan di negeri.
Tegasnya, semua persatuan dan pertubuhan sukan di Sarawak perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam melaksanakan program atau aktiviti masing-masing.
“Ini menunjukkan keprihatinan dan sokongan padu kerajaan kepada persatuan belia dan sukan di Sarawak dalam merealisasi agenda pembangunan berterusan, produktif dan berimpak tinggi selaras dengan keprihatinan serta sokongan daripada Kerajaan Sarawak dalam menyediakan geran tahunan.
“Kita sememangnya perlu memperhebat pembangunan sukan di negeri ini kerana industri sukan merupakan antara penyumbang utama ekonomi dan pembangunan sosial sesebuah negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Geran Belia dan Sukan 2023 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Karim pada majlis sama memberitahu kementeriannya kini terus komited dalam meningkatkan usaha bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan.
“Ini termasuklah pengawasan latihan serta kawalan pemakanan dan minuman yang diambil oleh atlet. Pada zaman dahulu, kita hanya berlatih sebelum kejohanan sukan tanpa mengambil kira aspek lain seperti pemakanan.
“Sekarang ini latihan yang dilakukan digabungkan dengan sains menerusi peralatan latihan, pemakanan dan minuman serta pengumpulan data tahap kecergasan atlet,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA