BETONG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong telah mengadakan Ujian Penilaian Kawad Kaki Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) melibatkan seramai 43 pelajar dari Politeknik Metro Betong di sini, semalam.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim, daripada jumlah tersebut, 28 peserta merupakan pelajar bagi Semester 1 sementara itu 15 peserta lagi adalah pelajar Semester 2 institusi berkenaan.
Ujian yang dilakukan di Pejabat Pertahanan Awam Daerah Betong itu, katanya, bertujuan melatih para pelajar untuk mematuhi arahan dengan tepat di samping mempertingkat disiplin diri, selain memupuk semangat kerjasama dan saling membantu dalam satu pasukan.
“Ujian ini juga akan membantu mengasah kemahiran memimpin dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar serta mempertingkatkan tahap kecergasan dan kesihatan melalui aktiviti fizikal yang berterusan,” katanya.
Bagi menjayakan ujian ini, jelasnya, salah seorang pegawai dan tiga anggota lain-lain pangkat (LLP) APM Betong, telah dilantik sebagai ahli panel dengan penilaian kesemua peserta adalah berdasarkan empat silibus yang telah ditetapkan untuk ujian tersebut.
Silibus ujian itu, katanya, membabitkan Statik Kawad Kaki bagi pelajar Semester 1, Taklimat Masuk Baris untuk pelajar Semester 2 Taklimat Masuk Baris, Taklimat Mengawadkan Skuad dan Paraskan Skuad.
“Ujian Penilaian Kawad Kaki PISPA ini telah berjalan lancar dengan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kalangan pelajar terlibat sepanjang ujian dijalankan.
“Justeru, diharap agar ujian ini dapat membantu menonjolkan kemahiran interpersonal para pelajar yang menyertai dan seterusnya memupuk disiplin dalam diri masing-masing,” kata Siti.
Oleh Valentine Ngumbang