426 kotak air disalur kepada penduduk terjejas kemarau di Layar dan Spak

Facebook
WhatsApp
LEGA... Penduduk menerima bantuan air minuman menerusi operasi bersepadu APM, JKM, ATM dan JKR bagi membantu komuniti yang terjejas akibat kemarau di kawasan Layar dan Spak. Foto APM Betong

BETONG: Sebanyak 426 kotak air minuman disalurkan kepada penduduk di dua rumah panjang di kawasan Layar dan Spak yang terjejas akibat kemarau menerusi operasi bantuan bekalan air bersih secara bersepadu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata operasi berkenaan membabitkan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurut beliau, operasi yang bermula pada 8.00 pagi itu melibatkan seramai 32 anggota dan kakitangan agensi berkaitan, selain penggunaan beberapa aset pengangkutan bagi memastikan penghantaran bantuan berjalan lancar.

“Sebanyak 426 kotak air minuman disediakan untuk diagihkan kepada penduduk di dua rumah panjang yang dikenal pasti terjejas akibat kemarau,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 248 kotak air dihantar ke Rumah Panjang Nanga Muman, Spak, bagi memenuhi keperluan 34 Ketua Isi Rumah (KIR) yang melibatkan seramai 124 penduduk.

Sementara itu, sebanyak 178 kotak air minuman diagihkan ke Rumah Panjang Raba Penyelanih, Layar, melibatkan 25 KIR dan 89 penduduk.

SEBANYAK 426 kotak air minuman disalurkan kepada penduduk di dua rumah panjang di kawasan Layar dan Spak yang terjejas akibat kemarau, semalam. Foto APM Betong

Mohammad Noor berkata, gerak kerja operasi merangkumi proses pemuatan bekalan air ke dalam kenderaan pengangkutan sebelum pasukan bergerak ke lokasi rumah panjang yang terjejas.

Pasukan bantuan kemudian tiba semula di RTC Layar pada 6.50 petang selepas selesai melaksanakan penghantaran bantuan ke lokasi berkenaan.

Menurut beliau, operasi penghantaran bekalan air akan diteruskan pada hari berikutnya bagi memastikan keperluan penduduk yang terkesan akibat kemarau dapat dipenuhi secara berterusan.

Kerjasama pelbagai agensi itu turut memperlihatkan kesepaduan tindakan dan kesiapsiagaan jentera pengurusan bencana dalam menangani kesan kemarau, khususnya bagi memastikan penduduk terjejas terus mendapat akses kepada bekalan air bersih.

APM sebagai antara agensi yang memainkan peranan dalam pengurusan bencana serta Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah terus komited untuk berada di lapangan, menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan dan menyalurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan.

Oleh Adi Safarman