KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Adham Baba berkata seramai 421 Pakar Perubatan dengan pengisian penuh dan 2,001 Pegawai Perubatan dengan kekosongan 414 jawatan berkhidmat di Sarawak sehingga 30 Jun 2020.
Beliau berkata 36.5 peratus daripada jumlah pelantikan tetap tersebut iaitu seramai 884 orang adalah berasal daripada Sarawak.
Beliau membuat perincian demikian ketika menjawab persoalan Senator Robert Lau Hui Yew berkenaan bilangan jawatan kosong bagi pegawai perubatan dan pergigian di Sarawak bagi tahun 2020.
Adham juga menambah, seramai 21 Pakar Pergigian dengan pengisisan penuh dan 257 Pegawai Pergigian dengan kekosongan 69 jawatan turut berkhidmat di Sarawak manakala 43.2 peratus daripada jumlah pelantikan tersebut iaitu sebanyak 120 adalah berasal daripada Sarawak.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya, sedang berusaha untuk mengisi kekosongan jawatan bagi menampung keperluan penyampaian perkhidmatan.
Pada April 2020 yang lalu, seramai 94 Pegawai Perubatan tetap telah menerima tawaran untuk berkhidmat di Sarawak, tegasnya.
Di samping itu, tambahnya, KKM juga merancang unruk menempatkan sekurang-kurangnya 100 lagi Pegawai Perubatan tetap tahun ini.
Selain daripada Pegawai Perubatan tetap, KKM juga menempatkan sejumlah 920 Pegawai Perubatan kontrak untuk menampung keperluan di Sarawak, katanya.
Oleh Akmal Adib Yusup