KUCHING: Menteri Pelancongan baharu dalam Kerajaan Perpaduan, Dato Sri Tiong King Sing diharap dapat membantu serta menyediakan infrastruktur pelancongan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini kerana pembinaan infrastruktur pelancongan di Sarawak memerlukan peruntukan yang besar.
“Kita berharap Dato Sri Tiong tidak akan melupakan Sarawak dari sudut pembangunan pelancongan.
“Saya yakin rakyat Sarawak yang menjadi menteri di peringkat Persekutuan tidak akan pernah melupakan negeri kelahirannya,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Portal dan Aplikasi Pelacongan Sarawak (Travel Apps) yang baharu, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata pihaknya juga akan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pelancongan itu bagi membincangkan perkara berkenaan dalam waktu terdekat.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, beliau berkata menerusi melalui Travel Apps, terdapat empat modul kandungan baharu diperkenalkan iaitu Tapak Pemandangan, Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi, Jejak Makanan dan Modul Permainan Interaktif.
“Aplikasi yang dibangunkan sejak 2020 itu kini telah ditambah baik dan boleh dimuat turun dari Google Play Store dan Apple Store.
“Portal dan Aplikasi Pelancongan Sarawak adalah kemuncak usaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Lembaga Pelancongan Sarawak dan UNIMAS untuk menghasilkan laman web generasi akan datang dan aplikasi peranti pintar untuk pelancong yang datang ke Sarawak.
“Saya mengharapkan lebih banyak inisiatif transformasi digital yang akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pelancongan di Sarawak,” katanya.