
JAKARTA: Empat orang maut manakala lima lagi cedera dalam insiden kebakaran sebuah kapal tangki minyak sawit mentah yang sedang menjalani kerja penyelenggaraan di Pulau Batam, Indonesia, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Rabu.
Mangsa merupakan juruteknik yang sedang melakukan kerja pembaikan ke atas kapal Federal II di PT ASL Shipyard Indonesia yang terletak di kawasan Batuaji.
Kebakaran dilaporkan berlaku sekitar 2.15 petang waktu tempatan pada Selasa ketika kapal itu dalam proses penyelenggaraan.
Ketua Polis Batuaji, Raden Bimo Dwi Lambang mengesahkan bahawa sembilan orang terlibat dalam insiden itu.
“Empat mangsa maut, lima terselamat. Jumlah keseluruhan mangsa ialah sembilan orang,” katanya.
Mereka yang cedera sedang menerima rawatan perubatan.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. — Bernama-Xinhua