Lapan maut dalam kejadian tanah runtuh di Colombia

Facebook
WhatsApp
PENDUDUK tempatan meninjau kawasan selepas kejadian tanah runtuh di Bello, Wilayah Antioquia, Colombia, pada 24 Jun 2025. Foto AFP

BOGOTA: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala lima lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku awal pagi Selasa di daerah Bello, wilayah Antioquia di barat laut Colombia, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

“Dengan penuh dukacita, saya memaklumkan bahawa sekitar 3.25 pagi tadi, satu kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan Granizal. 

“Setakat ini, kami mengesahkan lapan kematian dan lima kecederaan,” kata Datuk Bandar Lorena Gonzalez.

PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat salah seorang mangsa selepas kejadian tanah runtuh di Bello, Wilayah Antioquia, Colombia, pada 24 Jun 2025. Foto AFP

Beliau berkata tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai La Negra yang turut menjejaskan 10 buah rumah di kejiranan El Pinar.

Gabenor Antioquia, Andres Julian memaklumkan bahawa semua sumber jabatan telah digerakkan bagi menangani situasi kecemasan itu. 

SEORANG ahli keluarga salah seorang mangsa menangis selepas kejadian tanah runtuh. Foto AFP

Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa yang hilang, sementara penduduk tempatan mula berpindah dan mencari perlindungan di kem sementara berikutan risiko kejadian berulang. – Bernama