JAKARTA: Empat lagi lapangan terbang di Indonesia ditutup sementara hari ini susulan abu gunung berapi daripada letusan Anak Krakatau yang terus merebak, sekali gus menjejaskan operasi penerbangan dan menjadikan keseluruhan lima lapangan terbang terjejas.
Ketua Pengarah Penerbangan Awam Kementerian Pengangkutan Lukman F Laisa berkata penutupan tambahan itu melibatkan Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, Lapangan Terbang Raden Inten II di Lampung, Lapangan Terbang Budiarto di Curug dan Lapangan Terbang Pondok Cabe.
“Jadi, lima lapangan terbang ditutup. Kami terus memantau pergerakan abu ini,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Ahad.
Beliau berkata kementerian sedang menyelaras dengan pengendali lapangan terbang, AirNav Indonesia serta Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) berhubung perkembangan pergerakan abu gunung berapi itu.
Terdahulu, pihak berkuasa memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ditutup sementara sejak 1.30 pagi Ahad selepas abu gunung berapi dikesan di kawasan lapangan terbang itu.
Tempoh penutupan lapangan terbang berkenaan dilanjutkan sehingga 1.30 tengah hari waktu tempatan.
Sementara itu, Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Raden Inten II dan Pondok Cabe dijadual kekal ditutup sehingga 2 petang, manakala Lapangan Terbang Budiarto sehingga 1.30 tengah hari. – Bernama





