KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerima 384 aduan bagi tempoh dari 1 Januari hingga 30 Jun 2020 (Separuh Pertama 2020), yang mana 381 adalah terhadap industri syarikat penerbangan dan tiga terhadap lapangan terbang, kata suruhanjaya itu dalam Laporan Penggunanya yang dikeluarkan semalam.
Ia berkata bilangan aduan turun sebanyak 52.6 peratus pada separuh pertama 2020 daripada 810 aduan pada separuh pertama 2019.
“Sebanyak 90.9 peratus daripada 384 aduan berjaya diselesaikan,” kata Mavcom dalam satu kenyataan semalam.
Suruhanjaya itu juga menerima 2,340 pertanyaan berkaitan Covid-19 daripada pengguna, yang mana 2,146 adalah pertanyaan bagi bayaran balik dan 194 bagi penukaran tarikh penerbangan.
Sementara itu, sebanyak 490 aduan diterima tanpa dokumen yang lengkap dan justeru itu ia tidak dapat dinilai dengan sewajarnya.
Menurut Mavcom, laporan itu juga menyatakan 57.8 peratus daripada aduan yang diterima dari 1 Januari hingga 30 Jun 2020 membawa kepada syarikat penerbangan mengemukakan penyelesaian yang lebih adil atau memuaskan kepada pengguna berbanding apa yang disediakan sebelum ini.
Mengikut syarikat penerbangan, Malaysia Airlines merekodkan bilangan aduan paling tinggi bagi setiap juta penumpang semasa separuh pertama 2020.
“Syarikat penerbangan itu menerima 44 aduan bagi setiap juta penumpang yang dibawanya diikuti Malindo Air (32) dan AirAsia X (24),” kata suruhanjaya itu. – Bernama