373kg sampah dikumpul di Pantai Tanjung Batu

Facebook
WhatsApp
PELAJAR UPMKB berjaya mengumpul 373 kilogram sampah dalam aktiviti pembersihan pantai semasa menjayakan Program Laut Perlukan Anda di Pantai Tanjung Batu, Bintulu, baru-baru ini. Foto UPMKB

BINTULU: Sebanyak 373 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpul menerusi Program Laut Perlukan Anda anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama Persatuan Pejuang Alam Sekitar (SEW), di Pantai Tanjung Batu di sini, baru-baru ini.

Menurut kenyataan UPMKB, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap isu pencemaran laut serta kepentingan penjagaan alam sekitar.

“Usaha ini bukan sahaja memberi kesan langsung terhadap kebersihan kawasan pantai, malah menyemai rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam kalangan peserta terhadap pentingnya penjagaan alam sekitar,” katanya.

Selain pembersihan pantai, peserta turut mengambil bahagian dalam aktiviti berbentuk pendidikan seperti teka-teki cabaran biodiversiti bagi meningkatkan kesedaran mengenai haiwan terancam.

Pihak penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluas ke lokasi lain sebagai usaha berterusan dalam memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Oleh Carolyne Utih