KUCHING: Seramai 35 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak selepas serbuan di tiga lokasi berasingan sekitar bandar raya Kuching menerusi Operasi Gegar (Ops Gegar), malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli, berkata operasi yang digerakkan Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuching itu membabitkan kekuatan 45 pegawai penguat kuasa.
Katanya, operasi dijalankan di Jalan Chan Chin Ann, Jalan Stutong dan Moyan Square, dengan seramai 57 warga asing diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 35 orang, iaitu 15 lelaki dan 20 wanita, ditahan kerana terdapat sebab-sebab munasabah untuk mempercayai mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan yang diberikan,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan, malam tadi.
Lokman berkata, terdapat juga warga asing yang cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan, namun kesemua mereka berjaya ditahan hasil kecekapan pegawai penguat kuasa.
Beliau berkata, semua individu yang ditahan akan menjalani pemeriksaan dan pengesahan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen Semuja untuk tindakan selanjutnya.


SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan JIM Sarawak dalam Ops Gegar di sekitar Kuching, malam tadi.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan dan risikan terhadap warga asing yang dipercayai melakukan kesalahan imigresen akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Kita akan terus menjalankan risikan dan operasi secara berterusan kerana kita mendapati masih ramai warga asing di luar sana yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Mana-mana warga asing yang tidak melakukan kesalahan tidak perlu risau kerana kami hanya menahan dan menangkap mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Dalam pada itu, Lokman turut memberi peringatan kepada majikan supaya tidak melindungi atau menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI), kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah.
Mengulas mengenai status dokumen warga asing yang diperiksa, beliau berkata, terdapat individu yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pasport ketika pemeriksaan dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, JIM akan membuat semakan lanjut kerana ada antara mereka yang mendakwa dokumen berkenaan wujud tetapi tidak dibawa bersama.
“Bagaimanapun, kami akan membuat semakan terlebih dahulu. Mana-mana yang didapati bersalah tetap akan dibawa ke depot untuk ditahan,” katanya.


PEMERIKSAAN warga asing dilakukan JIM Sarawak dalam Ops Gegar di tiga lokasi sekitar Kuching, malam tadi.
Lokman berkata, penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial turut dikesan apabila warga asing yang memasuki Malaysia sebagai pelawat atau pelancong didapati bekerja tanpa memiliki permit kerja.
“Pas lawatan yang diberikan kepada mereka hanyalah untuk melancong atau melawat ke negara kita. Mereka tidak dibenarkan bekerja.
“Bekerja merupakan satu kesalahan melainkan mereka mempunyai permit kerja,” katanya.
Katanya, antara warga asing yang ditahan terdiri daripada warganegara Vietnam, Indonesia dan China.
Ditanya sama ada terdapat individu yang mengaku memasuki Sarawak melalui laluan tidak rasmi atau ‘jalan tikus’, Lokman mengesahkan perkara itu, namun berkata siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesahkan dakwaan berkenaan.
Oleh Shahrul Qaizat




