SIBU: Projek bekalan air di bawah ‘Projek Rakyat’ selama dua tahun yang melibatkan 322 projek yang bermula pada 2019 seharusnya dapat disiapkan menjelang Disember 2020, kata Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Menurutnya, bagaimanapun tidak semua projek berkenaan yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah tekanan air bagi kawasan yang mengalami tekanan air rendah akan diselesaikan mengikut jadual.
“Projek berkenaan terhenti kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu.
“Kami mempunyai rancangan ini, ada yang hampir selesai, ada yang dalam proses, malangnya kerana pandemik Covid-19 dan kemudian kita memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos, ia akan menjadi enam bulan atau kurang.
“Ini menyebabkan ada beberapa projek yang akan ditangguhkan. Beberapa projek memerlukan masa kerana kita tidak dapat melaksanakannya mengikut jadual dan waktu yang sepatutnya,” katanya semasa lawatan rasmi ke Lembaga Air Sibu (LAS) serta menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Projek Rakyat – Program Grid Bekalan Air Sarawak – Kawasan Tekanan, Mencadangkan 20 juta liter air setiap hari (MLD) Pengambilan Air Sungai untuk Bekalan Air Tanjung Manis di sini, semalam.
Dr Stephen Rundi memberitahu, projek bernilai RM16.8 juta adalah projek selama 12 bulan dan dijangka bermula pada 15 Julai 2020.
Katanya, projek ini akan membolehkan Tanjung Manis dan kawasan berdekatan mempunyai sumber bekalan air lain selain daripada bekalan air yang ada dari Loji Rawatan Air Bayong di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarikei.
“Hal ini sekali gus bagi memastikan bekalan air di Tanjung Manis dan sekitarnya mencukupi,” ujarnya.
Dalam pada itu, LAS mempunyai projek bekalan air serupa di Paloh, yang dijadualkan siap pada September namun kerana PKP, prosesnya kini hanya 25.97 peratus siap.
Jelasnya lagi, penyediaan bekalan air ke daerah-daerah di wilayah tengah adalah tugas yang mencabar.
Namun, visi kerajaan untuk menyediakan bekalan air kepada semua rakyat di negeri ini menjelang 2025 tetap diusahakan.
“Kerajaan telah mengadakan pelbagai inisiatif dan projek termasuk penubuhan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas), jaringan air dan sebagainya selama bertahun-tahun lalu untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan ke setiap bahagian di Sarawak,” jelasnya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti, Dato Ir Alice Jawan Empaling, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Pengurus Besar LAS Itin Langit, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun, Timbalan Pengurus Besar LAS Lau Poh Yin dan Pengarah Eksekutif Hock Seng Lee Berhad, Tony Yu Yuong Wee.
Oleh Nurzilla Mohamad