Kota Samarahan: Proses penghantaran pulang pelajar IPT Zon Sarawak diteruskan dengan menyaksikan seramai 622 lagi pelajar dihantar pulang menggunakan pesawat yang berlepas semalam.
Pelajar-pelajar tersebut melibatkan 152 pelajar dihantar pulang ke Johor Bahru, Pulau Pinang (154 pelajar), Alor Setar (157 pelajar) dan Terengganu (159 pelajar).
Pelajar itu merupakan sebahagian daripada pelajar yang terkandas di dalam kampus di IPT masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sejak 18 Mac 2020.
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diberi kepercayaan sebagai Koordinator untuk menyelaras pengangkutan bagi program menghantar pulang pelajar-pelajar IPT Zon Sarawak ke bahagian-bahagian di Sarawak/Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Sebelum dibenarkan menyertai proses penghantaran pulang, para pelajar dikehendaki menjalani saringan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan pelajar adalah dalam keadaan baik sebelum dibenarkan pulang bertemu semula dengan keluarga masing-masing.
Selain terlibat secara langsung dalam proses penghantaran pulang pelajar IPT Zon Sarawak, UNIMAS juga membantu menyelaras pengangkutan pulang ke daerah asal bagi pelajar IPT lain dari Semenanjung dan Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).
Semalam sahaja, seramai 755 pelajar yang tiba di KIA diuruskan pengangkutan oleh UNIMAS untuk ke destinasi seterusnya di dalam negeri ini.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi yang turut menyelia penyelarasan penghantaran pelajar pulang kelmarin dalam ucapan ringkasnya memberitahu hampir 3000 pelajar dihantar pulang setakat ini.
Beliau memaklumkan UNIMAS akan terus mengkordinasikan proses penghantaran pulang pelajar yang dijangka melibatkan beberapa jumlah kumpulan pelajar yang besar dalam minggu ini.
Menurutnya, UNIMAS akan sentiasa memastikan proses itu berjalan dengan baik mengikut SOP yang ditetapkan dan bekerjasama dengan jabatan kerajaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.