30 premis diperiksa, 24 notifikasi pelanggaran dikeluarkan menerusi Ops Servis

Facebook
WhatsApp
KENYATAAN JTK Sarawak.

KUCHING: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak) mengeluarkan 24 notifikasi pelanggaran dan membuka 28 kertas siasatan hasil pemeriksaan terhadap 30 tempat pekerjaan menerusi ‘Ops Servis’ di sekitar Bandaraya Kuching.

Operasi yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam itu diketuai Pengarah JTK Sarawak, Jamillah Putit, dengan melibatkan 16 pegawai penguat kuasa JTK Sarawak.

Menurut JTK Sarawak dalam satu kenyataan hari ini, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan majikan dalam sektor perkhidmatan di sekitar Bandaraya Kuching mematuhi peruntukan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), kaedah-kaedah serta perundangan perburuhan lain yang berkaitan.

Ops Servis turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan peruntukan berkaitan penggajian pekerja bukan pemastautin, khususnya pematuhan terhadap Kaedah-Kaedah Buruh (Lesen Untuk Menggaji Pekerja Bukan Pemastautin) (Sarawak) 2026, yang berkuat kuasa pada 15 Februari 2026.

Pemeriksaan sepanjang operasi memberi fokus kepada empat kesalahan utama, iaitu menggaji pekerja bukan pemastautin tanpa lesen, melanggar syarat-syarat lesen, gagal membayar gaji bagi kerja lebih masa serta gagal membayar gaji bagi kerja yang dilakukan pada hari rehat dan hari kelepasan mengikut kadar yang ditetapkan.

JTK Sarawak menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan dan ketidakpatuhan yang dikesan.

“Majikan yang gagal mematuhi peruntukan yang ditetapkan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, semua majikan diminta memastikan pengurusan dan amalan pekerjaan di premis masing-masing sentiasa mematuhi kehendak undang-undang yang ditetapkan.

JTK Sarawak berkata pelaksanaan Ops Servis merupakan manifestasi komitmen berterusan agensi berkenaan untuk memastikan undang-undang perburuhan dipatuhi secara menyeluruh, selain melindungi hak dan kebajikan pekerja.

Oleh Shahrul Qaizat

Senamrobik semarakkan Pesta Meradong 2026

BINTANGOR: Aktiviti senamrobik menjadi antara pengisian Program Kesedaran Kesihatan anjuran Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) sempena Pesta Meradong 2026,