30 peratus projek besar Sarawak untuk kontraktor Bumiputera – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
UCAPAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap mengenai kepentingan penguasaan teknologi dan peningkatan kemahiran dalam memperkukuh keupayaan kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan.

KUCHING: Kerajaan Sarawak menetapkan 30 peratus daripada projek besar yang dikeluarkan kerajaan negeri diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera sebagai langkah memperluas penyertaan golongan itu dalam pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat susulan kejayaan pelaksanaan projek perintis bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) yang memperuntukkan 30 peratus kerja kepada kontraktor Bumiputera.

“Dengan adanya kejayaan ini, kerajaan Sarawak telah memutuskan bahawa bagi semua projek bernilai besar yang dilaksanakan, sebanyak 30 peratus mesti diberikan kepada Bumiputera.”

“Kata lain, 30 peratus mesti diperuntukkan kepada perusahaan Bumiputera, manakala selebihnya akan dilaksanakan secara kerjasama dengan perusahaan bukan Bumiputera dalam projek-projek besar seperti yang telah kita sebutkan,” katanya.

PENYERAHAN Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sarawak bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan kemahiran serta kapasiti tenaga kerja sektor pembinaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026, di sini, malam tadi.

Menurut Abang Johari, dasar berkenaan memberi ruang lebih besar kepada kontraktor Bumiputera untuk meningkatkan kapasiti dan mengambil bahagian dalam projek pembangunan berskala besar di Sarawak.

Beliau berkata, kontraktor tempatan bagaimanapun perlu meningkatkan keupayaan masing-masing, khususnya dari segi penguasaan teknologi, kemahiran teknikal dan penggunaan jentera moden bagi memastikan peluang yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Abang Johari memuji PKMM kerana memainkan peranan dalam membangunkan sektor pembinaan serta menggalakkan penglibatan masyarakat Melayu bersama masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam menjayakan ekonomi Sarawak.

Katanya, sektor pembinaan perlu bergerak seiring perubahan teknologi bagi memastikan kontraktor tempatan mampu melaksanakan kerja dengan lebih cekap serta mengambil projek yang mempunyai tahap kesukaran lebih tinggi.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak sebelum ini turut membantu meningkatkan keupayaan kontraktor melalui penyediaan jentera serta latihan kemahiran.

“Saya mencadangkan supaya PKMM mempunyai traktor sendiri untuk dilatih dan disewakan kepada ahli-ahli PKMM. 

Jika PKMM bersedia, kita akan menyediakan traktor kepada PKMM,” katanya.

Abang Johari berkata, keperluan terhadap jentera moden turut meliputi penggunaan kren berkapasiti tinggi, terutama apabila sektor pembinaan Sarawak semakin terlibat dalam pembinaan bangunan dan projek berskala besar.

Menurutnya, kontraktor perlu memastikan anak-anak syarikat dan tenaga kerja mereka mempunyai kemahiran mengendalikan jentera berkenaan.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atas usaha melatih tenaga kerja tempatan dalam pengendalian kren.

Katanya, perkembangan teknologi dalam sektor pembinaan boleh dilihat menerusi evolusi jentera seperti traktor yang telah mengubah kaedah kerja daripada penggunaan peralatan manual kepada mesin moden.

Menurutnya, inovasi membolehkan kerja menggali dan menimbus dilakukan dengan lebih mudah dan pantas berbanding kaedah tradisional.

“Tidak ada lagilah era cangkul. Ditukar ke era traktor,” katanya.

Menurut beliau, penguasaan teknologi dan kemahiran mengendalikan jentera moden penting bagi membolehkan kontraktor tempatan meningkatkan tahap keupayaan mereka.

Katanya, penguasaan kren berteknologi tinggi misalnya membolehkan kontraktor melaksanakan pembinaan bangunan yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan kapasiti industri pembinaan tempatan.

“Kalau anak-anak kita mempunyai pengurusan kren ini, teknikalnya dari sudut teknikal, bermakna anak kita boleh juga membangun bangunan yang tinggi. Kalau tidak, tak dapat bangunan yang tinggi.

“Jadi maknanya tahap kita tinggi juga,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak membantu sektor pembinaan beralih kepada kaedah kerja berasaskan teknologi baharu, bukan hanya dari segi penyediaan projek tetapi turut membangunkan kapasiti dan kemahiran kontraktor tempatan.

Abang Johari berkata, usaha meningkatkan keupayaan kontraktor juga penting bagi memastikan masyarakat Melayu dan Bumiputera dapat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi Sarawak.

Katanya, peluang yang disediakan kerajaan perlu disertai dengan kesediaan pemain industri untuk meningkatkan keupayaan, menguasai teknologi dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Beliau turut menegaskan pembangunan Sarawak perlu dilaksanakan secara inklusif dengan kerjasama masyarakat Melayu, Bumiputera dan bukan Bumiputera, khususnya dalam menjayakan pelbagai projek pembangunan negeri.

Menurutnya, transformasi sektor pembinaan merupakan sebahagian daripada hala tuju Sarawak untuk bergerak seiring perubahan teknologi serta keperluan ekonomi masa depan.

Turut hadir, Presiden PKMM Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, Naib Presiden PKMM, Dato’ Ismail Suut, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Aidel Lariwoo, Dato’ Sri Abdul Karim Tun Openg serta Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Dr. Zaiedi Suhaili.

Oleh Afiq Sallehi