KUCHING: Seramai 30 pelajar menerima anugerah pelajar cemerlang oleh Deloitte KidsEdu sempena meraikan ulang tahun kedua programnya di Sarawak.
Presiden Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI) Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah merasmikan sambutan ulang tahun kedua Deloitte KidsEdu di Wisma SABATI, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng berkata kejayaan mereka sepanjang dua tahun lepas di Sarawak sangat memberangsangkan dan beliau berharap dapat terus memberi impak kepada pelajar serta meluaskan jangkauan mereka ke komuniti Sarawak yang lain.
“Deloitte KidsEdu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah dilancarkan di negeri ini pada Mac 2021 dengan 250 pelajar di Kota Samarahan dan ia berkembang untuk merangkumi lebih daripada 200 pelajar dari Kuching pada Januari 2022.
“Deloitte KidsEdu bermula pada Jun 2019 dengan matlamat untuk meningkatkan prestasi akademik kanak-kanak golongan B40 berumur antara 7 hingga 12 tahun.
“Kelas kami kini berkhidmat untuk kanak-kanak sekolah rendah dari enam lokasi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Negeri Sembilan dan pada semester baru, kami juga akan menyambut pelajar dari Pahang.
“Kelas KidsEdu yang menyeronokkan dan menarik dwi-mingguan, dipenuhi dengan kuiz dan permainan pendek, menjadikan pembelajaran kanak-kanak berasa selesa dan memperoleh keyakinan dalam perbualan bahasa Inggeris,” katanya semasa berucap pada majlis ulang tahun kedua Deloitte KidsEdu, hari ini.
Untuk rekod, sepanjang Jun 2020 hingga Februari 2023, Deloitte KidsEdu telah mengedarkan sejumlah 510 komputer riba, memberi kesan kepada lebih 2,000 pelajar di seluruh negara.
Sehubungan itu katanya, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya 200 komputer riba disediakan kepada kanak-kanak dalam komuniti B40 setiap tahun.
Oleh Mohd Neenatul Aizal