BETONG: Kira-kira 30 hektar kawasan bekas kebun sawit dan tanah gambut di Jalan Bungin, Serembang, terbakar dalam kejadian kebakaran hutan yang dilaporkan petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada 2.44 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergerak ke lokasi pada 2.45 petang.
Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 3.15 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 37 kilometer dan mendapati kawasan dianggarkan seluas 30 hektar sedang terbakar.
Operasi pemadaman masih dijalankan sehingga 5.00 petang bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak di kawasan tanah gambut berkenaan.

Seramai enam anggota BBP Betong digerakkan bersama sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) dalam operasi itu, diketuai PBK II Muhamad Salehhin Tohip selaku Komander Operasi.
Bagaimanapun, usaha pemadaman berdepan beberapa cabaran termasuk laluan yang sempit dan sukar dilalui, selain tiada sumber air berhampiran kawasan kebakaran.
Keadaan turut menjadi lebih mencabar berikutan litupan GIRN dan rangkaian telefon yang kurang memuaskan di lokasi kejadian.
JBPM Sarawak terus menjalankan operasi pemadaman dan pemantauan bagi memastikan kebakaran dapat dikawal serta mengelakkan api merebak ke kawasan berhampiran.
Oleh Adi Safarman





