
BETONG: Seramai 30 individu telah ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak dan AADK Daerah Betong dalam Ops Perdana yang bermula 25 Februari sehingga semalam.
Dalam satu kenyataan AADK Sarawak hari ini, Ops Perdana yang dijalankan selama tiga hari itu menyasarkan kawasan sekitar Debak, Kabong, Supa dan Spaoh di Bahagian Betong.
“Hasil operasi yang dijalankan, seramai 30 individu telah ditahan, dan kesemua mereka didapati positif dadah jenis Metamphetamine (METH) selepas menjalani ujian saringan air kencing.
“Daripada jumlah itu, 28 adalah lelaki dan dua adalah wanita, berusia diantara 19 hingga 50 tahun,” katanya.
Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah 1983, dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Operasi ini turut disertai Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Sarawak, Mohamed Izuan Abdul Rahman yang menegaskan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan masyarakat.
Operasi ini melibatkan seramai 12 anggota AADK, termasuk dua pegawai dan 10 anggota yang bertugas dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Orang ramai katanya yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian hotline AADK di 1-800-22-2235 (AADK) atau 019-626 2233. Untuk maklumat lanjut, layari adk.gov.my.
Oleh Adi Saparman