GEDONG, 28 Nov: Keputusan 29 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini disifatkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai petunjuk bahawa rakyat mahukan kestabilan bagi membolehkan agenda pembangunan diteruskan.
Menurutnya, kestabilan penting bagi memastikan usaha pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan secara berterusan, selain manfaatnya dinikmati secara adil oleh seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Alhamdulillah, hari ini rakyat Sarawak berkehendakkan kestabilan untuk kita meneruskan usaha pembangunan. Apabila 29 kerusi kita menang tanpa bertanding, ini adalah tanda-tanda rakyat berkehendakkan kestabilan.
“Keduanya, pembangunan mesti adil kepada semua masyarakat, tidak kira latar belakang kaum dan juga latar belakang agama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program LCDA Berambeh ke Gedong sempena Ulang Tahun LCDA Ke-45 di sini, hari ini.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Gedong atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu, selain berterima kasih kepada rakyat Sarawak atas keyakinan terhadap kepimpinan GPS.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemenangan tanpa bertanding itu membawa tanggungjawab besar kepada wakil rakyat yang diberi kepercayaan, justeru mereka perlu bekerja lebih keras bagi memenuhi harapan masyarakat.
“Keyakinan sudah ada, terpulang kepada kita pula untuk membalas harapan rakyat. Insya-Allah, di bawah pimpinan saya, saya akan teruskan usaha untuk membangunkan Sarawak,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi




