Klinik Sungai Asap antara empat lokasi projek perintis Hospital Desa

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

LABUAN, 28 November: Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan konsep Hospital Desa menerusi pelaksanaan projek perintis di empat klinik kesihatan di Sabah, Sarawak dan Pahang bagi memperluas akses penduduk luar bandar dan pedalaman kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

Empat lokasi projek perintis itu ialah Klinik Kesihatan Sungai Asap di Sarawak, Klinik Kesihatan Nabawan dan Klinik Kesihatan Telupid di Sabah serta Klinik Kesihatan Tekek di Pahang.

Projek perintis itu dijadual dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Klinik Kesihatan Sungai Asap pada Isnin ini.

KKM dalam kenyataan kepada Bernama hari ini memaklumkan inisiatif itu melibatkan peningkatan keupayaan klinik kesihatan terpilih untuk menyediakan skop perkhidmatan perubatan yang lebih luas, sekali gus mengurangkan keperluan penduduk untuk melakukan perjalanan jauh ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Pelaksanaannya memberi tumpuan khusus kepada kawasan yang kurang mendapat liputan perkhidmatan kesihatan dan pembinaan hospital di kawasan berkenaan tidak berdaya maju dari segi ekonomi atau operasi.

Kekangan sedemikian tidak seharusnya menyebabkan masyarakat setempat terpinggir daripada mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diperlukan.

“Keutamaan bukan sekadar menyediakan kemudahan kesihatan, tetapi memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan saksama tanpa mengira lokasi geografi atau latar belakang sosioekonomi,” menurut kenyataan itu.

Menerusi konsep Hospital Desa, klinik kesihatan terpilih akan dilengkapi dengan kemudahan rawatan asas dan wad pemerhatian bagi membolehkan pesakit menjalani penilaian klinikal, menerima rawatan awal serta dipantau dalam tempoh yang bersesuaian.

Skop perkhidmatan itu juga boleh merangkumi penjagaan perantaraan, penjagaan selepas keluar dari hospital, rehabilitasi dan penjagaan paliatif, tertakluk kepada keperluan klinikal serta keupayaan fasiliti masing-masing.

KKM turut menegaskan bahawa konsep Hospital Desa bukan bertujuan untuk menggantikan hospital konvensional, sebaliknya melengkapi fungsi hospital dengan memperkukuh rangkaian rujukan dan penyelarasan penjagaan pesakit.

Hospital akan terus berperanan dalam mengendalikan kes kecemasan dan kes kompleks serta menyediakan perkhidmatan kepakaran, manakala klinik kesihatan terpilih akan memberi tumpuan kepada rawatan awal, pemerhatian klinikal dan penjagaan susulan di peringkat komuniti.

Pelaksanaan projek perintis itu akan dinilai berdasarkan keberkesanan perkhidmatan, keselamatan pesakit, kesiapsiagaan fasiliti, kompetensi tenaga kerja dan penerimaan masyarakat sebelum peluasan pelaksanaannya ke lokasi lain yang bersesuaian dipertimbangkan.

Inisiatif berkenaan juga selaras dengan agenda reformasi sistem kesihatan negara yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya dalam usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer agar lebih inklusif, bersepadu dan mampan.

“Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan tiada rakyat Malaysia dinafikan akses kepada penjagaan kesihatan hanya kerana mereka tinggal jauh dari hospital,” menurut KKM. – Bernama